Saturday, September 25, 2010

THE 12th DUSKIN LEADERSHIP TRAINNING IN JAPAN




Cyril Chan Kok Sheng iaitu ahlijawatankuasa ICT telah dipilih untuk berkursus di The 12th Duskin Leadership Training in Japan untuk mewakili Persatuan Orang Pekak Johor . Program ini disertai oleh 8 buah negara dari Rantau Asia dan Pasifik bermula dari 1 September 2010 hingga 1 Julai 2011. Pemilihan ini telah dibuat oleh jawatankuasa pemilihan peserta kursus Duskin di Jepun dan segala perbelanjaan kursus ini ditanggung sepenuhnya oleh The Duskin AINOWA Foundation.
Syabas dan tahniah kepada Cyril Chan Kok Sheng kerana berjaya dipilih berkursus dan perlantikan beliau telah menaikkan imej SDJO serta persatuan Pekak di Malaysia. Beliau telah berjanji akan membawa perubahan baru dan kemajuan kepada SDJO selepas pulang menuntut ilmu dari negara Matahari Terbit itu nanti sebagai tanda keikhlasan membalas jasa SDJO. Beliau telah selamat berlepas ke Jepun dari Lapangan Terbang Changi, Singapura pada jam 1.15 pagi 31 Ogos 2010.

Objective Programme 12th Duskin Leadership Trainning in Japan:-
• This program is intended for persons with disabilities in Asian and Pacific regions who have potential to become leaders in their communities.
• To help achieve their goals, this program provides an opportunity for them to learn about welfare measures, policies and services for persons with disabilities in Japan and thus improve their knowledge and skills. It is sponsored by the Duskin AINOWA Foundation as one of the projects commemorating the Asian and Pacific Decade of Disabled Persons (1993-2002)

Hari Keluarga Orang Pekak Johor 2010

Johor Bahru, 1 Ogos 2010. Program Sambutan Hari Keluarga Orang Pekak Johor telah selamat dan berjaya berlangsung bertempat di Padang Seri Gelam, Jalan Sungai Chat,Johor Bahru yang bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 3.00 petang. Seramai hampir 400 orang Pekak dari seluruh daerah negeri Johor telah hadir untuk memeriahkan program ini. Antara peserta yang hadir adalah para ahli SDJO bersama keluarga, pelajar Pekak Politeknik Johor Bahru, guru serta murid-murid pendidikan khas Johor Bahru dan para ibubapa kepada anak Pekak.

Objektif utama program ini dianjurkan adalah untuk mengukuhkan dan mempertingkatkan semangat perpaduan dan kekeluargaan dikalangan ahli SDJO yang berbilang bangsa dari seluruh negeri Johor dan mewujudkan kesedaran umum kepada masyarakat Pekak dan bukan Pekak.

Pelbagai acara permainan dan pertandingan telah disediakan antaranya adalah acara berjalan kaki sejauh 3 KM bermula dari Dataran Bandaraya menuju Jalan Mahmoodiah seterusnya ke Lingkaran Dalam dan kembali semula ke Dataran Bandaraya. Kesimpulan majlis ini sangat berjaya dan meriah serta mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada semua ahli yang pelbagai bangsa dan agama.

Acara dipertandingkan pada Hari Keluarga Orang Pekak Johor
• Berjalan Kaki 3 km
• Pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah
• Pertandingan Futsal Kain Pelekat
• Pertandingan Sepak Bulu Ayam
• Pertandingan Pelbagai Sukaneka
• Pertandingan Tarik Tali
• Pertandingan Congkak & Dam Haji
• Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak
• Pertandingan Gusti Lengan
• Cabutan Bertuah

Kejohanan Boling Tenpin Orang Pekak Johor 2010

Johor Bahru, 25 Julai 2010. Encik Heng Chin Hai seorang pemain bowling Pekak Johor yang sangat aktif telah menganjurkan Kejohanan Bowling Tenpin Orang Pekak bertempat di Danga City Mall Plaza, Johor Bahru dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengahari.. Pertandingan ini berbentuk perlawanan persahabatan untuk mengisi masa lapang dan mengukuhkan perpaduan serta mencungkil bakat bermain boling tenpin untuk persediaan menghadapi sebarang pertandingan.

Seramai 46 orang ahli-ahli SDJO dan pelajar Pekak dari Politeknik Johor Bahru telah menyertai pertandingan ini. Para pemenang dihadiahkan ganjaran berupa wang tunai dan hamper. Selepas selesai perlawanan semua peserta dijamukan nasi ayam dari Restoran Fifin yang ditaja oleh Puan Manjeet Kaur Dhillion iaitu bekas pesara guru di Singapura dan ibu kepada Devinder Kaur yang merupakan seorang ahli SDJO. Syabas dan tahniah kepada semua peserta kerana telah menunjukkan minat, kerjasama dan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang kejohanan ini berlangsung.


Pemenang Kategori Individu Lelaki
Johan : Heng Chin Hai
Ke Dua : Sim Poh Chuang
Ke Tiga : Tan Yong Kim

Pemenang Kategori Individu Wanita
Johan : Gwee Lee Choo
Ke Dua : Kang Wan Peng
Ke Tiga : Joyce Tan

Pemenang Kategori berempat campuran
Johan : Kumpulan Heng Chin Hai
Ke Dua : Kumpulan Apple Kang Wan Peng
Ke Tiga : Kumpulan Sim Poh Chuang

Program Karnival “WALK FOR VALUES”

Johor Bahru, 18 Julai 2010. Persatuan Orang Pekak Johor telah dijemput oleh Pejabat Parlimen Johor Bahru dan Majlis Sathya Sai Baba untuk bersama-sama lebih 2000 orang peserta berbilang bangsa dan agama dari kawasan Parlimen Johor Bahru untuk menyertai program Karnival Walk For Values yang bertema GO GREEN.

SDJO telah menghantar 10 orang peserta Pekak dari kawasan Tebrau dan 10 orang peserta Pekak dari kawasan Larkin untuk menyokong penganjuran program yang berciri cintakan alam. Semua peserta berjalan kaki sejauh 2.5km telah berjaya sampai dan berkumpul di tempat yang ditetapkan iaitu di kawasan parkir Giant Taman Putra Johor Bahru.

Objektif Karnival Walk For Values

• Meningkatkan kesedaran serta kepentingan nilai-nilai murni di dalam kehidupan seluruh masyarakat Malaysia

• Memupuk semangat perpaduan dan kasih sayang antara masyarakat berbilang kaum dan bangsa.

12 Orang Pekak Johor Menawan Puncak Kinabalu


Kota Kinabalu, 7-8 Julai 2010. Seramai 12 orang Pekak bersemangat waja iaitu terdiri daripada 8 lelaki dan 4 wanita telah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu, Sabah iaitu gunung tertinggi di Asia Tenggara dengan selamat dan lancar yang diketuai oleh Encik Ravisangar a/l Kannan yang juga merupakan timbalan presiden SDJO.

Sekumpulan peserta ini telah mengeluarkan belanja sendiri iaitu dari segi tiket penerbangan pergi dan balik, makan minum sepanjang berada di sana kerana kesukaran mendapat penaja yang sudi menyumbang bagi menjayakan program ini.

Disaat akhir persiapan terdapat beberapa peserta akan menarik diri dari menyertai program ini kerana masalah tiket kapalterbang air asia telah menaikkan harga tiket yang agak mahal. Namun masalah tersebut dapat diselesaikan melalui keikhlasan Encik Ravisangar a/l Kannan bermurah hati meminjamkan wang peribadi kepada rakan yang mengalami kesulitan untuk membiayai sebahagian kos perbelanjaan penerbangan.

Sekumpulan pendaki ini bercadang akan mendaki Gunung Tahan pada tahun depan dengan membawa lebih ramai peserta Pekak yang terdiri daripada para remaja dan belia Pekak dari negeri Johor. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pendaki Pekak kita kerana telah menaikkan imej orang Pekak dan SDJO. SDJO berharap lebih banyak aktiviti yang mencabar dapat dilakukan dan disertai untuk membuktikan orang Pekak Boleh.

Senarai pendaki Pekak dari SDJO:-

1. Ravisangar a/l Kannan
2. Mohd Yazid Bain
3. Mohd Norafzan Salleh
4. Mohd Hasif Abdul Razak
5. Lee Jack Kie
6. Kang Wei Lun
7. Lee Poh Leong
8. Lim Siu Suah @ Melvin
9. Kang Wan Peng
10. Chong Aik Sean
11. Yong Kiew Yen
12. Haliza binti Hassan

Bengkel Kepimpinan EXCO SDJO 2010



Johor Bahru, 3 Julai 2010. Encik Ryann iaitu siswa dari Universiti Gallaudet Amerika Syarikat telah diundang melalui Persekutuan Orang Pekak Malaysia MFD untuk menyampaikan ceramah seterusnya mengendalikan bengkel kepimpinan yang dihadiri oleh pemimpin Pekak iaitu presiden MFD, exco SDJO, ahlijawatankuasa Kelab Wanita Pekak dan Belia Pekak.

Bengkel kepimpinan selama sehari ini yang bertujuan melahirkan sebuah organisasi berteraskan ilmu dan melahirkan pemimpin Pekak yang bertanggungjawab ke atas organisasi yang dipimpin telah berjalan dengan lancar dan jayanya bertempat di Pusat komunikasi Orang Pekak Johor.

SDJO bercadang akan menganjurkan bengkel seumpama ini pada masa akan datang dan menjadikan program ini sebagai aktiviti tahunan.

Kursus Pra Perkahwinan Orang Pekak Islam




Johor Bahru, 12-13 Jun 2010. Persatuan Orang Pekak Johor bersama Majlis Agama Islam Negeri Johor telah selamat menganjurkan Kursus Pra Perkahwinan Orang Pekak Islam selama 2 hari bertempat di Hotel Seri Malaysia Larkin Johor Bahru. Kursus wajib kepada semua bakal pengantin ini telah disertai seramai 70 orang Pekak beragama Islam.

Melalui kursus ini para peserta telah diberikan kefahaman tentang konsep perkongsian hidup bercirikan Islam dan bimbingan ke arah penyelesaian permasalahan rumahtangga serta sesi kaunseling juga turut diberikan.

Persatuan Orang Pekak Johor merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor, Pusat Pembangunan Keluarga Islam Johor, para Jurubahasa Isyarat dan semua individu yang terlibat di atas sokongan dan kerjasama menjayakan Kursus Pra Perkahwinan Orang Pekak Islam Johor tahun 2010.

Klinik Bahasa Inggeris untuk Murid Pekak




Johor Bahru, 10-12 Jun 2010. Murid- Murid dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Johor Bahru telah dipilih untuk menyertai klinik bahasa inggeris anjuran oleh MFD bersama SDJO. Klinik selama tiga hari ini dianjurkan pada masa lapang iaitu sempena cuti sekolah pertengahan tahun.

Seramai 33 murid Pekak telah terlibat menyertai klinik bahasa inggeris yang dikendalikan oleh tiga orang siswi Pekak dari Universiti Gallaudet Amerika Syarikat yang sedang menjalani tugas latihan pratikal selama tiga bulan di Malaysia.

Penganjuran program ini telah membangkitkan minat serta semangat murid untuk belajar lebih tekun dan menguasai bahasa inggeris. Pada hari terakhir bengkel ini, semua murid-murid telah diberikan sijil penyertaan oleh Persatuan Orang Pekak Johor.

Objektif Klinik Bahasa Inggeris:-

• Menarik minat murid terhadap matapelajaran Bahasa Inggeris

• Meningkatkan prestasi murid dalam Bahasa Inggeris

• Melahirkan murid yang berpotensi tinggi dan kreatif

• Menguasai kemahiran asas iaitu membaca dan menulis

• Membaca dengan teliti dan memahami perkataan demi perkataan

Wednesday, June 9, 2010

Tawaran Pekerjaan Untuk Komuniti Pekak Johor

PUSKOM JOHOR BAHRU 30 Mei 2010. Program tawaran dan penempatan pekerjaan untuk komuniti Pekak sekitar kawasan Johor Bahru telah berjaya diadakan bertempat di Pusat Komunikasi Orang Pekak Johor. Program ini telah dihadiri oleh 71 orang pencari kerja yang keseluruhannya adalah ahli Persatuan Orang Pekak Johor yang terdiri daripada pelajar lepasan SPM dan Politeknik. Wakil majikan daripada Syarikat Kentuckf Fried Chicken dan BIGG SUITE iaitu kilang membuat pakaian uniform telah hadir memberi penerangan mengenai peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada komuniti Pekak dan seterusnya menemuduga calon yang sesuai dan layak untuk diambil bekerja. Wakil Jobs Malaysia Johor Encik Syahrul Syahid Mohd Salleh turut hadir memberikan kerjasama sepanjang program ini diadakan. Kesimpulannya program ini sangat berjaya dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua ahli dan berharap akan diteruskan pada masa akan datang.





Ceramah Pusat Komunikasi Orang Pekak Johor

PUSKOM JOHOR 23 Mei 2010 Saudara Razak bin Seman staff MFD telah diundang untuk memberi penerangan mengenai penubuhan PUSKOM di seluruh negeri. Objektif ceramah ini adalah untuk memberi penerangan mengenai fungsi dan kepentingan Pusat Komunikasi kepada komuniti Pekak dari seluruh daerah negeri Johor. PUSKOM beroperasi setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang manakala hari Ahad 2.00 hingga 6.00 petang

Kemudahan Pusat Komunikasi Orang Pekak Johor

1. Laman Intekratif
2. Video Relay service
3. Perkhidmatan Online
4. Kamus Maya Bahasa Isyarat Malaysia
5. Khidmat Jurubahasa Isyarat
6. Khidmat Penempatan Pekerjaan
7. Khidmat Nasihat dan Kaunseling
8. Seminar / Ceramah Isu semasa
9. Kelas Asas ICT

10. Kelas Bahasa Isyarat Malaysia






Ceramah Perkhidmatan Jurubahasa Isyarat

JOHOR BAHRU, 23hb Mei 2010. Ceramah mengenai Perkhidmatan Jurubahasa Isyarat telah disampaikan oleh Cik Asma Nurul Ain Salim dan dibantu oleh Cik Siti Hanim M.Zulkepli bertempat di Pusat Komunikasi Orang Pekak Johor di Larkin Perdana. Tujuan utama ceramah ini ialah untuk memberi pendedahan mengenai Profesion Jurubahasa Isyarat, Perkhidmatan Jurubahasa kepada komuniti Pekak. Ceramah selama 1 jam 30 minit ini telah berlangsung dengan jayanya dan diakhiri dengan sesi soal jawab. sekalian ahli yang hadir iaitu seramai 78 orang telah memberikan kerjasama dan respon yang sangat baik mengenai penganjuran program ini.

Klien
a. Ahli Persatuan
b. Individu
c. Kerajaan
d. Swasta

e. Lain-lain

Maklumat Perkhidmatan Jurubahasa Isyarat
a. Pekerjaan
b. Perubatan
c. Kes Mahkamah
d. Pelajaran
e. Seminar
f. Mesyuarat
g. Peribadi

Jenis Perkhidmatan Bahasa Isyarat
a. Bahasa Isyarat Malaysia
b. ASL
c. SEE
d. KTBM
e. Lain-lain


Monday, May 3, 2010

Program Motivasi UPSR SKPKJB

Johor Bahru, 24 April 2010 - Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Johor Bahru telah menjemput Persatuan Orang Pekak Johor mengadakan program motivasi UPSR fasa pertama kepada murid-murid Pekak di sekolah itu. Tujuan program dianjurkan adalah untuk memberi galakan semangat belajar kepada murid -murid yang akan mengambil peperiksaan UPSR pada tahun ini. Program ini dijalankan di dalam dewan sekolah dan telah mendapat sambutan hebat dari semua murid.

Seramai Tiga orang fasilitator Pekak dari Persatuan Orang Pekak Johor iaitu Encik Mohd Yazid Bain, Encik Chan Kok Sheng, Encik Ravisangar Kannan dan dua orang pembantu fasilitator iaitu Cik Devinder Kaur dan Cik Lo Yee Wah. Pelbagai aktiviti dilakukan untuk menarik minat murid ketika dan selepas program di jalankan. Semoga aktiviti yang telah dianjurkan oleh pihak sekolah bersama Persatuan Orang Pekak Johor dapat memberi rangsangan dan semangat yang berguna sebagai persediaan murid dalam menghadapi peperiksaan UPSR pada bulan September ini.







Tuesday, April 27, 2010

Kelas Asas ICT Hujung Minggu

PUSKOM Johor, 25 April 2010 - Encik Chan Kok Sheng iaitu Ahlijawatankuasa ICT SDJO telah memulakan hari pertama mengajar asas teknologi maklumat secara sukarela pada setiap hujung minggu bermula dari 25 April 2010 hingga 23 Mei 2010 dari jam 2.00 petang hingga 4.00 petang bertempat di Pusat Komunikasi Orang Pekak Johor. Kelas ICT hujung minggu ini boleh disertai oleh semua ahli SDJO daripada pelbagai peringkat umur dan etnik yang berminat. Seramai 10 orang peserta Pekak telah mengikuti kelas dengan penuh minat dan semangat untuk menerokai ilmu ICT yang diajar sendiri oleh Fasilitator Pekak

Objektif penganjuran kelas ini untuk memberi pendedahan, kemahiran dan membudayakan orang Pekak kepada ICT dan menggunakan peluang dan kemudahan teknologi tersebut sepenuhnya.

Jadual Kelas ICT Hujung Minggu bagi bulan April hingga Mei 2010


  1. Basic Computer and LCD - 25 April 2010, 2.00 petang
  2. How to use the Mircosoft Office (Word) - 2 May 2010, 2.00 petang
  3. How to open Internet Explore dan Facebook - 9 May 2010, 2.00 petang
  4. Attached files and photo (Yahoo Mail) - 23 May 2010, 2.00 petang

Monday, April 12, 2010

Bengkel Tenaga Pengajar BIM Zon Selatan

Johor Bahru 10 - 11 April 2010 - Unit Bahasa Isyarat Malaysia MFD (Unit BIM) mengadakan semula Kursus ToT (Training of Trainers) BIM untuk mencari pelapis tenaga pengajar BIM diseluruh negara. Permintaan yang tinggi daripada jabatan-jabatan kerajaan, swasta dan individu untuk kursus dan kelas Bahasa Isyarat Malaysia anjuran MFD antara sebab untuk menambah tenaga pengajar BIM. Buat masa ini SDJO mempunyai 2 orang tenaga pengajar BIM yang berpengalaman. Ini tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan yang tinggi untuk kursus dan kelas Bahasa Isyarat Malaysia

ToT BIM ini dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu Zon Utara, Zon Tengah dan Zon Selatan. Pada 10 - 11 April 2010 lalu, ToT BIM Zon Selatan yang meliputi negeri-negeri Johor dan Melaka telah diadakan di PUSKOM Johor.Seramai 7 orang peserta telah menghadiri ToT BIM Zon Selatan.
Berikut adalah fasilitator dan peserta ToT BIM Zon Selatan:-
  1. Encik Fakhrul Azman - Fasilitator MFD
  2. Encik Mohd Yazid - Peserta SDJO
  3. Encik Chan Kok Sheng - Peserta SDJO
  4. Encik Ravisangar - Peserta SDJO
  5. Cik Haliza Hassan - Peserta SDJO
  6. Cik Hida Halene - Peserta SDJO
  7. Encik Razak - Peserta POPNM
  8. Encik Muhammad Anuar - Peserta POPNM

Encik Fakhrul Azman sedang memberi tunjuk ajar kepada para peserta


Cik Hida Halene dan Encik Kok Sheng sedang berlatih mengenai teknik mengajar BIM yang betul


Encik Razak Seman peserta POPNM sedang bertanyakan sesuatu kepada Fasilitator


Encik Ravisangar menyampaikan cenderamata Batik ikan Nemo yang dihasilkan oleh Usahawan Pekak SDJO kepada Encik Fakhrul Azman


Kenangan bersama peserta dan fasilitator ToT BIM Zon Selatan 2010 di PUSKOM Johor

Thursday, April 8, 2010

Ceramah Membenteras Jenayah Rogol

Johor Bahru 28 Mac 2010 - Atas kesedaran tentang bahaya ancaman jenayah rogol yang semakin mejadi-jadi sejak kebelakangan ini, Pusat Komunikasi Orang Pekak ( PUSKOMJB ) telah menjemput Cif Inspektor Cik Salwani iaitu Polis DiRaja Malaysia IPK Johor untuk memberikan ceramah "Membenteras Jenayah Rogol" dari jam 4.00 hingga 5.30 petang.
Para hadirin bersesak memenuhi ruang dewan PUSKOMJB untuk mengikuti ceramah yang amat berfaedah ini.




Ceramah Bina Usahawan Pekak

Johor Bahru 28 Mac 2010 - Pusat Komunikasi Orang Pekak Johor Bahru menganjurkan ceramah 'Bina Usahawan Pekak' yang disampaikan oleh Usahawan Pekak iaitu Encik Puad Bin Salim yang juga selaku presiden SDJO.

Penganjuran aktiviti ini mendapat sambutan positif daripada ahli Pekak yang pelbagai etnik dari seluruh daerah. Kelihatan Ruang PUSKOMJB dibanjiri ahli yang datang untuk menimba ilmu dalam bidang perniagaan daripada usahawan Pekak sendiri.
Isikandung ceramah:-
1. Cara Pendaftaran SSM
2. Cara Permohonan Geran Bantuan Perniagaan daripada JTK dan JKMNJ
3. Berkongsi Pengalaman dengan Usahawan Pekak dalam bidang Perniagaan
4. Menyuntik keyakinan kepada bakal Usahawan Pekak menceburi bidang Perniagaan
5. Cara menggaji pekerja Pekak