Saturday, September 25, 2010

THE 12th DUSKIN LEADERSHIP TRAINNING IN JAPAN




Cyril Chan Kok Sheng iaitu ahlijawatankuasa ICT telah dipilih untuk berkursus di The 12th Duskin Leadership Training in Japan untuk mewakili Persatuan Orang Pekak Johor . Program ini disertai oleh 8 buah negara dari Rantau Asia dan Pasifik bermula dari 1 September 2010 hingga 1 Julai 2011. Pemilihan ini telah dibuat oleh jawatankuasa pemilihan peserta kursus Duskin di Jepun dan segala perbelanjaan kursus ini ditanggung sepenuhnya oleh The Duskin AINOWA Foundation.
Syabas dan tahniah kepada Cyril Chan Kok Sheng kerana berjaya dipilih berkursus dan perlantikan beliau telah menaikkan imej SDJO serta persatuan Pekak di Malaysia. Beliau telah berjanji akan membawa perubahan baru dan kemajuan kepada SDJO selepas pulang menuntut ilmu dari negara Matahari Terbit itu nanti sebagai tanda keikhlasan membalas jasa SDJO. Beliau telah selamat berlepas ke Jepun dari Lapangan Terbang Changi, Singapura pada jam 1.15 pagi 31 Ogos 2010.

Objective Programme 12th Duskin Leadership Trainning in Japan:-
• This program is intended for persons with disabilities in Asian and Pacific regions who have potential to become leaders in their communities.
• To help achieve their goals, this program provides an opportunity for them to learn about welfare measures, policies and services for persons with disabilities in Japan and thus improve their knowledge and skills. It is sponsored by the Duskin AINOWA Foundation as one of the projects commemorating the Asian and Pacific Decade of Disabled Persons (1993-2002)

Hari Keluarga Orang Pekak Johor 2010

Johor Bahru, 1 Ogos 2010. Program Sambutan Hari Keluarga Orang Pekak Johor telah selamat dan berjaya berlangsung bertempat di Padang Seri Gelam, Jalan Sungai Chat,Johor Bahru yang bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 3.00 petang. Seramai hampir 400 orang Pekak dari seluruh daerah negeri Johor telah hadir untuk memeriahkan program ini. Antara peserta yang hadir adalah para ahli SDJO bersama keluarga, pelajar Pekak Politeknik Johor Bahru, guru serta murid-murid pendidikan khas Johor Bahru dan para ibubapa kepada anak Pekak.

Objektif utama program ini dianjurkan adalah untuk mengukuhkan dan mempertingkatkan semangat perpaduan dan kekeluargaan dikalangan ahli SDJO yang berbilang bangsa dari seluruh negeri Johor dan mewujudkan kesedaran umum kepada masyarakat Pekak dan bukan Pekak.

Pelbagai acara permainan dan pertandingan telah disediakan antaranya adalah acara berjalan kaki sejauh 3 KM bermula dari Dataran Bandaraya menuju Jalan Mahmoodiah seterusnya ke Lingkaran Dalam dan kembali semula ke Dataran Bandaraya. Kesimpulan majlis ini sangat berjaya dan meriah serta mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada semua ahli yang pelbagai bangsa dan agama.

Acara dipertandingkan pada Hari Keluarga Orang Pekak Johor
• Berjalan Kaki 3 km
• Pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah
• Pertandingan Futsal Kain Pelekat
• Pertandingan Sepak Bulu Ayam
• Pertandingan Pelbagai Sukaneka
• Pertandingan Tarik Tali
• Pertandingan Congkak & Dam Haji
• Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak
• Pertandingan Gusti Lengan
• Cabutan Bertuah

Kejohanan Boling Tenpin Orang Pekak Johor 2010

Johor Bahru, 25 Julai 2010. Encik Heng Chin Hai seorang pemain bowling Pekak Johor yang sangat aktif telah menganjurkan Kejohanan Bowling Tenpin Orang Pekak bertempat di Danga City Mall Plaza, Johor Bahru dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengahari.. Pertandingan ini berbentuk perlawanan persahabatan untuk mengisi masa lapang dan mengukuhkan perpaduan serta mencungkil bakat bermain boling tenpin untuk persediaan menghadapi sebarang pertandingan.

Seramai 46 orang ahli-ahli SDJO dan pelajar Pekak dari Politeknik Johor Bahru telah menyertai pertandingan ini. Para pemenang dihadiahkan ganjaran berupa wang tunai dan hamper. Selepas selesai perlawanan semua peserta dijamukan nasi ayam dari Restoran Fifin yang ditaja oleh Puan Manjeet Kaur Dhillion iaitu bekas pesara guru di Singapura dan ibu kepada Devinder Kaur yang merupakan seorang ahli SDJO. Syabas dan tahniah kepada semua peserta kerana telah menunjukkan minat, kerjasama dan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang kejohanan ini berlangsung.


Pemenang Kategori Individu Lelaki
Johan : Heng Chin Hai
Ke Dua : Sim Poh Chuang
Ke Tiga : Tan Yong Kim

Pemenang Kategori Individu Wanita
Johan : Gwee Lee Choo
Ke Dua : Kang Wan Peng
Ke Tiga : Joyce Tan

Pemenang Kategori berempat campuran
Johan : Kumpulan Heng Chin Hai
Ke Dua : Kumpulan Apple Kang Wan Peng
Ke Tiga : Kumpulan Sim Poh Chuang

Program Karnival “WALK FOR VALUES”

Johor Bahru, 18 Julai 2010. Persatuan Orang Pekak Johor telah dijemput oleh Pejabat Parlimen Johor Bahru dan Majlis Sathya Sai Baba untuk bersama-sama lebih 2000 orang peserta berbilang bangsa dan agama dari kawasan Parlimen Johor Bahru untuk menyertai program Karnival Walk For Values yang bertema GO GREEN.

SDJO telah menghantar 10 orang peserta Pekak dari kawasan Tebrau dan 10 orang peserta Pekak dari kawasan Larkin untuk menyokong penganjuran program yang berciri cintakan alam. Semua peserta berjalan kaki sejauh 2.5km telah berjaya sampai dan berkumpul di tempat yang ditetapkan iaitu di kawasan parkir Giant Taman Putra Johor Bahru.

Objektif Karnival Walk For Values

• Meningkatkan kesedaran serta kepentingan nilai-nilai murni di dalam kehidupan seluruh masyarakat Malaysia

• Memupuk semangat perpaduan dan kasih sayang antara masyarakat berbilang kaum dan bangsa.

12 Orang Pekak Johor Menawan Puncak Kinabalu


Kota Kinabalu, 7-8 Julai 2010. Seramai 12 orang Pekak bersemangat waja iaitu terdiri daripada 8 lelaki dan 4 wanita telah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu, Sabah iaitu gunung tertinggi di Asia Tenggara dengan selamat dan lancar yang diketuai oleh Encik Ravisangar a/l Kannan yang juga merupakan timbalan presiden SDJO.

Sekumpulan peserta ini telah mengeluarkan belanja sendiri iaitu dari segi tiket penerbangan pergi dan balik, makan minum sepanjang berada di sana kerana kesukaran mendapat penaja yang sudi menyumbang bagi menjayakan program ini.

Disaat akhir persiapan terdapat beberapa peserta akan menarik diri dari menyertai program ini kerana masalah tiket kapalterbang air asia telah menaikkan harga tiket yang agak mahal. Namun masalah tersebut dapat diselesaikan melalui keikhlasan Encik Ravisangar a/l Kannan bermurah hati meminjamkan wang peribadi kepada rakan yang mengalami kesulitan untuk membiayai sebahagian kos perbelanjaan penerbangan.

Sekumpulan pendaki ini bercadang akan mendaki Gunung Tahan pada tahun depan dengan membawa lebih ramai peserta Pekak yang terdiri daripada para remaja dan belia Pekak dari negeri Johor. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pendaki Pekak kita kerana telah menaikkan imej orang Pekak dan SDJO. SDJO berharap lebih banyak aktiviti yang mencabar dapat dilakukan dan disertai untuk membuktikan orang Pekak Boleh.

Senarai pendaki Pekak dari SDJO:-

1. Ravisangar a/l Kannan
2. Mohd Yazid Bain
3. Mohd Norafzan Salleh
4. Mohd Hasif Abdul Razak
5. Lee Jack Kie
6. Kang Wei Lun
7. Lee Poh Leong
8. Lim Siu Suah @ Melvin
9. Kang Wan Peng
10. Chong Aik Sean
11. Yong Kiew Yen
12. Haliza binti Hassan

Bengkel Kepimpinan EXCO SDJO 2010



Johor Bahru, 3 Julai 2010. Encik Ryann iaitu siswa dari Universiti Gallaudet Amerika Syarikat telah diundang melalui Persekutuan Orang Pekak Malaysia MFD untuk menyampaikan ceramah seterusnya mengendalikan bengkel kepimpinan yang dihadiri oleh pemimpin Pekak iaitu presiden MFD, exco SDJO, ahlijawatankuasa Kelab Wanita Pekak dan Belia Pekak.

Bengkel kepimpinan selama sehari ini yang bertujuan melahirkan sebuah organisasi berteraskan ilmu dan melahirkan pemimpin Pekak yang bertanggungjawab ke atas organisasi yang dipimpin telah berjalan dengan lancar dan jayanya bertempat di Pusat komunikasi Orang Pekak Johor.

SDJO bercadang akan menganjurkan bengkel seumpama ini pada masa akan datang dan menjadikan program ini sebagai aktiviti tahunan.

Kursus Pra Perkahwinan Orang Pekak Islam




Johor Bahru, 12-13 Jun 2010. Persatuan Orang Pekak Johor bersama Majlis Agama Islam Negeri Johor telah selamat menganjurkan Kursus Pra Perkahwinan Orang Pekak Islam selama 2 hari bertempat di Hotel Seri Malaysia Larkin Johor Bahru. Kursus wajib kepada semua bakal pengantin ini telah disertai seramai 70 orang Pekak beragama Islam.

Melalui kursus ini para peserta telah diberikan kefahaman tentang konsep perkongsian hidup bercirikan Islam dan bimbingan ke arah penyelesaian permasalahan rumahtangga serta sesi kaunseling juga turut diberikan.

Persatuan Orang Pekak Johor merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor, Pusat Pembangunan Keluarga Islam Johor, para Jurubahasa Isyarat dan semua individu yang terlibat di atas sokongan dan kerjasama menjayakan Kursus Pra Perkahwinan Orang Pekak Islam Johor tahun 2010.

Klinik Bahasa Inggeris untuk Murid Pekak




Johor Bahru, 10-12 Jun 2010. Murid- Murid dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Johor Bahru telah dipilih untuk menyertai klinik bahasa inggeris anjuran oleh MFD bersama SDJO. Klinik selama tiga hari ini dianjurkan pada masa lapang iaitu sempena cuti sekolah pertengahan tahun.

Seramai 33 murid Pekak telah terlibat menyertai klinik bahasa inggeris yang dikendalikan oleh tiga orang siswi Pekak dari Universiti Gallaudet Amerika Syarikat yang sedang menjalani tugas latihan pratikal selama tiga bulan di Malaysia.

Penganjuran program ini telah membangkitkan minat serta semangat murid untuk belajar lebih tekun dan menguasai bahasa inggeris. Pada hari terakhir bengkel ini, semua murid-murid telah diberikan sijil penyertaan oleh Persatuan Orang Pekak Johor.

Objektif Klinik Bahasa Inggeris:-

• Menarik minat murid terhadap matapelajaran Bahasa Inggeris

• Meningkatkan prestasi murid dalam Bahasa Inggeris

• Melahirkan murid yang berpotensi tinggi dan kreatif

• Menguasai kemahiran asas iaitu membaca dan menulis

• Membaca dengan teliti dan memahami perkataan demi perkataan